SINTOK, 2 Disember 2024: Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB, UUM Sintok, telah menganjurkan Majlis Apresiasi Pelajar Pascasiswazah Cemerlang di Studio OYAGSB, semalam.
Majlis ini diadakan bagi meraikan kecemerlangan para pelajar pascasiswazah UUM COB yang telah menunjukkan prestasi terbaik sepanjang pengajian mereka, sesuai dengan tema majlis “The Best Among The Best.”
Program ini juga bakal dijadikan acara tahunan sebagai tanda penghargaan kepada pelajar pascasiswazah serta untuk terus menyemarakkan semangat kecemerlangan akademik.
Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Hassan Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan menyatakan bahawa majlis ini merupakan langkah penting dalam mengiktiraf usaha gigih pelajar pascasiswazah.
“Program ini akan dilaksanakan secara tahunan untuk meraikan kejayaan para pelajar OYAGSB dan COB dari kedua-dua kampus Sintok dan Kuala Lumpur,” katanya.
Majlis dimulakan dengan tayangan montaj yang memaparkan pencapaian OYAGSB, Sintok yang dikenali sebagai Unit Pengajian Siswazah (UPS) COB sebelum ini, termasuk perjalanan dan kejayaan unit ini dalam menyokong pembangunan akademik pelajar pascasiswazah.
Sesi penyampaian anugerah dan sijil penghargaan adalah acara kemuncak majlis, di mana 10 individu diberikan anugerah kecemerlangan mengikut kategori masing-masing.
Antara anugerah yang diberikan termasuk Anugerah Graduate on Time (GOT) untuk kategori Sarjana dan PhD; Anugerah Publikasi (Kualiti) dan Anugerah Publikasi (Kuantiti); Anugerah Pelajar Cemerlang untuk kategori Sarjana dan PhD; Anugerah Kepimpinan Cemerlang; Anugerah Impak & Penglibatan Komuniti; Anugerah Alumni Cemerlang; dan Anugerah Pengajaran Graduan Terbaik untuk kategori Sarjana dan PhD.
Kategori-kategori ini memberi penghargaan kepada pelajar atas pelbagai aspek kecemerlangan termasuk akademik, penerbitan, kepimpinan, dan impak komuniti.
Dalam majlis tersebut, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) turut menerima Anugerah Khas (Kolaborasi Berimpak Tinggi).
Buat julung kalinya juga, dua orang pensyarah diberikan anugerah ‘Most Inspiring Lecturer’ berdasarkan pengundian yang dibuat oleh pelajar-pelajar pascasiswazah UUMCOB.
Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Subramaniam Sri Ramalu; Pengarah Akademik OYAGSB, Prof. Madya Dr. Chuah Chin Wei serta dekan-dekan dari kolej perniagaan di UUM. – Nor Maisarah Mohamed Ali (Pelatih dari UiTM Shah Alam)