All News

OYAGSB DAN PELAJAR ANTARABANGSA BANTU TAMBAH BAIK EKOSISTEM DAN BIODIVERSITI NEGARA

OYAGSB DAN PELAJAR ANTARABANGSA BANTU TAMBAH BAIK EKOSISTEM DAN BIODIVERSITI NEGARA

image002

UUM ONLINE:  Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) telah mengadakan program tanggungjawab sosial universiti (USR) di Pantai Jeruju, Jerlun, baru-baru ini.

Ketibaan staf dan pelajar antarabangsa OYAGSB disambut oleh Pengerusi Persatuan Pendidikan Dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING), Che Ani Mt Zain; Pegawai Luar Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang juga Penasihat Persatuan Pendidikan dan Kebajikan JARING, Zulkifli Yusuf dan Penolong Setiausaha dan Bendahari JARING, Mohd Khairul Anuar Md Said.

Timbalan Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Subramaniam Sri Ramalu menyatakan rasa syukurnya atas sambutan yang diberikan.

image003 1

Menurutnya, tujuan program ini diadakan untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang implikasi kemusnahan alam sekitar seperti hakisan pantai dan cara memuliharanya sebagai salah satu aktiviti tanggungjawab sosial universiti.

Sementara itu, Zulkifli mengambil kesempatan ini menjelaskan kepada peserta tentang peranan dan tujuan persatuan mereka.

“Objektif organisasi kami adalah untuk memastikan sumber-sumber alam ini dijaga dengan baik,” katanya.

Program “Love the Environment – Let’s Plan Mangrove” diteruskan lagi dengan taklimat oleh Mohd Khairul Anuar Md Said yang menerangkan teknik penanaman pokok rhu dengan betul.

image004 1

Delegasi ini dibahagi kepada dua kumpulan di mana kumpulan pertama melakukan aktiviti penanaman anak pokok rhu, manakala kumpulan kedua pula melakukan gotong-royong memungut sampah di kawasan sekitar.

Salah seorang pelajar tajaan Kementerian Agama Republik Indonesia (KEMENAG), Marissa Adlina Rianti berkata, beliau tidak pernah berpeluang melihat penanaman pokok rhu secara langsung sebelum ini dan ia merupakan kali pertama, jadi beliau agak teruja dengan pengalaman ini.

Khairunnisa yang juga pelajar tajaan KEMENAG turut menyatakan bahawa beliau tidak akan menolak untuk menyertai program seperti ini lagi pada masa akan datang.