All News

OYAGSB SINTOK KONGSI ILMU DAN JALANKAN USR DI SKT, KUALA NERANG

image007

 

UUM ONLINE: Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) Sintok atau dahulu dikenali sebagai Unit Pengajian Siswazah UUM COB (UPSCOB) memilih Sekolah Kebangsaan Tualak (SKT), Kuala Nerang sebagai destinasi pengajuran Program Pemindahan Ilmu (KTP) & Tanggungjawab Sosial Universiti (USR), baru-baru ini.

Rombongan OYAGSB Sintok yang terdiri daripada staf dan pelajar pascasiswazah disambut dengan meriah oleh guru-guru dan murid-murid Tahun 5 dan Tahun 6 sekolah tersebut.

Timbalan Dekan OYAGSB Sintok, Prof. Dr. Subramaniam Sri Ramalu berkata, program komuniti ini umpama seperti hubungan symbiosis di mana kita saling memerlukan dan saling melengkapi.

Menurutnya, tanggungjawab bukan sahaja mengajar, tetapi juga perlu cakna dengan apa yang berlaku di luar terutamanya di komuniti dan di sekolah-sekolah.

Dr. Subramaniam turut memperkenalkan pelajar-pelajar antarabangsa yang turut serta dalam program ini iaitu pelajar-pelajar dari Indonesia yang dibawah tajaan Kementerian Agama Republik Indonesia (KEMENAG) dan pelajar dari negara China.

Sementara itu, Guru Besar SKT, Zolkepli Ismail dalam ucapannya berkata, “Saya ingin mengucapkan terima kasih di atas kesudian pihak Universiti Utara Malaysia atas penganjuran program hari ini dan berharap semoga lebih banyak lagi program-program seperti ini diadakan pada masa hadapan”.

Murid-murid Tahun 5 dan Tahun 6 seterusnya dibahagikan kepada sembilan kumpulan bagi mengikuti program ‘English with Fun’ yang dikendalikan oleh Badrul Hisham Ahmad, pensyarah jemputan dan ‘I Love Math’ yang dipimpin oleh Dr. Francis Chuah Chin Wei, selain acara sukaneka yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar KEMENAG.

Pelajar antarabangsa dari negara China, Gejia yang mengambil Doktor Falsafah (Ekonomi) berkata, program ini bukan saja dapat memupuk kesedaran tentang pentingnya khidmat masyarakat tetapi memberi impak positif kepada mereka yang turut serta dalam program ini.

“Program seperti ini sukar untuk kami sertai kerana universiti kami jauh dari komuniti. Saya gembira melihat kanak-kanak ini tersenyum walaupun tidak memahami apa yang mereka katakan,” katanya.

Murid Tahun 5, Aqil Ahmad bersemangat melihat kakak-kakak dan abang-abang dari UUM datang ke sekolah mereka dan berharap suatu hari nanti, mereka juga dapat mengunjungi UUM.

Selain itu, OYAGSB Sintok juga menyumbangkan kipas sebanyak lapan unit dan sistem siar raya (PA System) untuk kegunaan pihak sekolah.