UUM ONLINE: Tidak sampai sebulan berada di Malaysia, 19 pelajar tajaan Kementerian Agama Republik Indonesia (KEMENAG) telah mula bergerak aktif dengan menyertai aktiviti anjuran Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB) di Kuala Nerang pada 21 Mei lalu.
OYAGSB telah membawa pelajar-pelajar dari Indonesia ini untuk turut serta dalam Program Pemindahan Ilmu (KTP) dan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) di Sekolah Kebangsaan Tualak (SKT), Kuala Nerang yang melibatkan guru-guru dan murid-murid Tahun 5 dan Tahun 6 sekolah tersebut.
Timbalan Dekan OYAGSB, Prof. Dr. Subramaniam Sri Ramalu berkata, pelbagai aktiviti telah diadakan dan mendapat sambutan yang luar biasa daripada warga sekolah tersebut di mana pelajar-pelajar KEMENAG yang mengikuti program Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam (MIFB) ini turut menjadi fasilitator untuk aktiviti ‘English with Fun’ dan ‘I Love Math’.
Menurutnya, bukan itu sahaja, pelajar-pelajar KEMENAG juga diberi peluang mengendalikan aktiviti sukaneka untuk murid-murid tersebut yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membantu memupuk semangat kerjasama dan kreativiti dalam kalangan pelajar.
Pelajar tajaan KEMENAG, Havna Amiruddin berkata, pengalaman ini amat memuaskan dan beliau melihat program itu sebagai satu pengalaman yang unik dan bermakna kerana ia membolehkan murid sekolah untuk belajar sambil berseronok.
Beliau turut berpandangan, pelajar sekolah perlu belajar dalam keadaan yang menyeronokkan dan tidak tertekan agar dapat focus dalam pelajaran.
Seorang lagi pelajar KEMENAG, Alvi Rahmawati menghargai peluang yang diberikan untuk menyertai program ini.
Menurutnya, beliau mengakui ketidakbiasaan peluang seperti ini di Indonesia, di mana fokus utamanya adalah pada kerjasama antara universiti dan industri sahaja.
Murid-murid SKT pula dilihat amat teruja dengan kunjungan oleh pelajar-pelajar Indonesia.
Murid SKT, Nur Anis Maisarah berkata, “Saya sangat teruja kerana program seperti ini jarang diadakan di sekolah kami. Terima kasih atas peluang ini”.
Penyertaan pelajar-pelajar KEMENAG ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada murid SKT, tetapi dapat memperkukuhkan hubungan antara UUM dan masyarakat setempat.
Aktiviti seperti ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperkukuhkan tanggungjawab sosial universiti serta memberi impak yang positif kepada komuniti.