GELUGOR: Unit Pengajian Siswazah UUM COB (UPSCOB) telah mengadakan lawatan penanda aras ke Institute of Postgraduate Studies (IPS), Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini.
Delegasi yang diketuai oleh Pengarah UPSCOB, Prof. Madya Dr. Subramaniam Sri Ramalu telah disambut oleh Dekan IPS, Prof. Dr. Azlan Abdul Aziz bersama barisan kepimpinan IPS.
Dr. Subramaniam berkata, dalam pertemuan tersebut, delegasi UPSCOB telah didedahkan tentang pelbagai perkara merangkumi aspek tadbir urus, trend enrolmen dan kemasukan pelajar, promosi, sistem pemantauan dan lain-lain lagi.
“IPS USM yang menguruskan hampir 15,000 pelajar pascasiswazah dari pelbagai bidang pengajian juga tidak lokek untuk bertukar pandangan terutama berkaitan promosi dan pengurusan pemantauan status pengajian pelajar.
“Saya berharap menerusi kunjungan ini, UPSCOB dapat menerapkan perkongsian dari pihak IPS, sekali gus memperkemaskan pengurusan pascasiswazah di peringkat UUM COB,” katanya.
Di samping itu, tambahnya, UPSCOB dapat merancang pelbagai strategi bagi meningkatkan bilangan pelajar pascasiswazah dengan kerjasama pusat-pusat pengajian UUM COB.