POKOK SENA: “Melentur buluh, biarlah dari rebungnya,” kata Pengarah Unit Pengajian Siswazah UUM COB, Prof. Madya Dr. Subramaniam Sri Ramalu yang mencetuskan idea untuk mengajar kanak-kanak Tabika KEMAS Kampung Bukit Teriak, Telaga Mas bercucuk tanam dengan cara moden.
Hasrat mengajar teknik penanaman sayur secara hidroponik ini dapat direalisasikan baru-baru ini dengan kerjasama Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB).
Ketibaan rombongan staf UPSCOB dan pelajar pascasiswazah UUM COB bersama pakar bidang dari SEFB telah disambut oleh guru-guru dan anak-anak tabika di sana.
Dr. Subramaniam berkata, menerusi program pemindahan pengetahuan ini, kanak-kanak Tabika KEMAS ini mendapat pendedahan tentang kepentingan sekuriti makanan dan seterusnya memupuk kesedaran dan minat terhadap pertanian semenjak kecil.
Selain teruja dapat menuai sendiri hasil tanaman selepas tiga minggu, kanak-kanak ini juga turut diajar mengenali jenis sayur-sayuran.
Hujan renyai pada pagi itu tidak menghalang kanak-kanak Tabika KEMAS ini untuk mempelajari kaedah penanaman sayuran menggunakan teknik hidroponik berasaskan konsep 3T iaitu Tanam, Tinggal dan Tuai.
Dengan pengenalan teknologi seperti ini ia dapat mengubah persepsi tentang pekerjaan dalam sektor pertanian yang sering dikaitkan dengan 3D (Dirty – Kotor, Dangerous – Bahaya, dan Difficult – Sukar).