|
UUM ONLINE: Pokok Sena – Staf Unit Pengajian Siswazah UUM COB (UPSCOB) bersama pelajar pascasiswazah antarabangsa mengambil inisiatif menyantuni penduduk Kampung Bukit Teriak, Mukim Telaga Mas, baru-baru ini.
Kedatangan mereka telah disambut oleh Ketua kampong, Mohd Azhar Azizan yang seterusnya memberikan sedikit taklimat ringkas tentang sejarah kampung dan aktiviti harian serta sosio-ekonomi penduduk setempat.
Pengarah UPSCOB, Prof. Madya Dr. Subramaniam Sri Ramalu berkata, program bersama komuniti setempat seperti ini penting untuk memastikan universiti sentiasa dekat dengan komuniti bagi memahami keperluan masyarakat setempat agar ianya dapat diselarikan dengan agenda universiti.
“Selain staf, pelajar antarabangsa yang terlibat juga berpeluang menimba pengalaman baharu bersama penduduk kawasan luar bandar ini,” katanya,
Kemudian, rombongan dibawa berjalan-jalan sekitar kampung dan diperdengarkan kisah turun-temurun tentang telaga tujuh yang terdapat di kampung itu.
Dalam kunjungan tersebut juga, rombongan UPSCOB mengambil peluang menjalankan tanggungjawab sosial korporat dengan memberi sumbangan berupa barang keperluan dapur kepada lima keluarga yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.
Pelajar antarabangsa dari negara China yang menyertai lawatan tersebut amat teruja dengan suasana dan kehidupan di kampung serta tertarik dengan budaya masyakat tempatan.