|
UUM College of Business (UUM COB) telah mengadakan Bengkel Pemantapan Program Pascasiswazah (PG) UUM COB 2023 di EDC UUM, baru-baru ini.
Bengkel sehari yang dikendalikan sepenuhnya oleh Unit Pengajian Siswazah UUM COB (UPSCOB) bertujuan untuk membantu pusat pengajian dalam merancang dan menyelaras penawaran kursus-kursus program pascasiswazah di bawah UUM COB.
Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad yang juga Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) dalam ucapan aluannya menekankan peri pentingnya perancangan teliti dalam penawaran kursus-kursus agar tidak berlaku pembaziran sumber dan pada masa yang sama dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pemegang taruh.
Beliau juga menyatakan hasrat untuk melihat UUM COB terus mengorak langkah mengangkat statusnya sebagai ‘core business’ UUM selaras dengan visi UUM untuk menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka.
Bengkel ini juga antara lain telah menghasilkan pelan pengajian (study plan) mengikut kohort kemasukan untuk semua program PG di COB sebagai usaha mengoptimumkan penggunaan sumber. Jadual waktu untuk tiga trimester bagi tahun akademik 2023/2024 juga telah dibangunkan sebagai persiapaan memasuki trimester pertama tahun akademik baru yang akan bermula pada September 2023.
Bengkel yang dihadiri Pengerusi Program Pascasiswazah dari setiap pusat pengajian di bawah UUM COB iaitu Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), TISSA-UUM, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dan Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) turut membincangkan aktiviti-aktiviti PG sepanjang 2023.
Antara program atau aktiviti yang dirancang ialah Postgraduate Research Talk Series dan kolokium/simposium UUM COB 2023.