UUM ONLINE: Unit Pengajian Siswazah (UPS) UUM COB telah menganjurkan UUM COB Doctoral Colloquium 2022 secara maya melalui aplikasi Webex, baru-baru ini.
Program tersebut merupakan platform bagi pelajar program Doktor Falsafah (PhD) UUM COB yang telah melengkapkan kursus pra-syarat untuk membentangkan idea penyelidikan mereka.
Pengarah UPSCOB, Prof. Madya Dr. Wan Shakizah Wan Mohd Noor berkata, program itu merupakan salah satu proses yang perlu dilakukan oleh pelajar sebelum dibenarkan untuk mempertahan cadangan (proposal defense) kajian masing-masing.
Menurutnya, penganjuran kolokium itu mendapat kerjasama Unit Pengajian Siswazah UUMCOB (UPSCOB) bersama pusat-pusat pengajian di bawah UUM COB terdiri daripada Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) dan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM).
“Anda telah bekerja keras untuk menghasilkan idea penyelidikan baharu bagi pengajian kedoktoran anda dan ia merupakan proses yang agak panjang. Proses seterusnya adalah pembentangan pertahanan cadangan penyelidikan anda.
“Saya ingin mengingatkan pelajar tentang tempoh yang diberikan untuk mempertahan cadangan kajian masing-masing,” katanya.
Seramai 17 pelajar PhD dari semua pusat pengajian UUM COB telah mengambil bahagian di dalam program itu yang melibatkan dua sesi pembentangan yang dijalankan secara serentak, di mana setiap pelajar diberi tempoh masa selama 30 minit untuk membentangkan idea penyelidikan mereka, diikuti dengan perbincangan oleh dua orang penilai (discussants).
Turut serta dalam program ini ialah penyelia bagi serta pelajar pascasiswazah UUM COB.
Wan Shakizah berkata, penganjuran kolokium itu dilihat sebagai satu inisiatif yang baik kerana ianya terbuka kepada semua pelajar pascasiswazah UUM COB.
Tambah beliau, sesi perkongsian idea penyelidikan serta perbincangan oleh penilai dari semua pusat pengajian UUM COB membolehkan peserta melihat kajian-kajian yang dilakukan oleh rakan-rakan PhD yang lain terutama dari pusat pengajian berlainan.
Selain itu, ujarnya, peserta juga didedahkan dengan ‘input’ serta cadangan penambahbaikan oleh penilai yang juga pensyarah dalam bidang kepakaran berkenaan.
“Sesi percambahan idea ini mampu untuk mempergiatkan usaha pelajar dalam menyediakan cadangan penyelidikan (research proposal) yang lebih berkualiti.
“Adalah menjadi harapan saya agar program seperti ini dapat diteruskan secara tahunan di mana ianya boleh menjadi wadah perkongsian ilmiah bagi pelajar pascasiswazah UUM COB,” katanya.